Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Pertimbang Buka Sempadan Negara Secara Selamat – Muhyiddin

M Update, 15/10/2021 – Kerajaan sedang mempertimbangkan membuka sempadan negara secara selamat, dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu yang telah lengkap divaksin untuk memasuki negara ini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, berikutan perkembangan positif indikator COVID-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia melalui program pengiktirafan bersama sijil vaksin seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara lain.

Jelasnya perkara itu antara yang dimaklumkan dalam mesyuarat MPN yang berlangsung hari ini.

“Ini satu perkembangan positif dalam proses pembukaan sempadan negara yang saya pasti akan merancakkan semula kegiatan ekonomi terutamanya sektor pelancongan, konvensyen antarabangsa, peruncitan dan lain-lain, di samping mempermudahkan urusan pelawat perniagaan dan pelawat sosial,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau telah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan berpuas hati dengan perkembangan dicapai, khususnya dari segi penurunan kes positif harian, penggunaan katil wad unit rawatan rapi bagi merawat pesakit COVID-19 dan kadar vaksinasi populasi dewasa yang tinggi pada masa ini. – Bernama