M Update, 21/10/2021 – Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras di Kampung Sungai Putat, meninggal dunia, awal pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, anggota terbabit Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Diya Che Jusoh, 46, disahkan meninggal ketika menerima rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 3.11 pagi tadi oleh pegawai perubatan. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, kira-kira 10 pagi nanti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika membantu mangsa banjir kini bergantung dengan alat bantuan pernafasan.
Beliau berkata, ketika kejadian anggota berkenaan dipercayai hilang pertimbangan susulan arus deras ketika memasang tali untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Kejadian menimpa mangsa turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengajak Keluarga Malaysia bersama-sama mendoakan Mohd Diya kembali pulih selepas tidak sedarkan diri akibat ditimpa kemalangan sewaktu menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir, petang semalam.