Input your search keywords and press Enter.

Banjir Pahang – 5,987 Mangsa Masih Di PPS

M Update, 30/12/2021 – Seramai 5,987 mangsa banjir daripada 1,851 keluarga masih berada di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini, sehingga jam 8 pagi ini.

Jumlah itu menurun berbanding 6,371 mangsa banjir daripada 1,935 keluarga ditempatkan di 48 PPS, petang semalam. Temerloh merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 3,125 orang, diikuti Pekan (1,522), Bentong (682), Kuantan (463) dan Maran (195).

Sebanyak enam jalan ditutup membabitkan lima daerah di negeri ini iaitu Jalan Southern Loop, Bentong, Jalan Kuala Lipis- Jerantut, Jerantut; Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, Maran; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh.

Sebanyak 20 kes kematian akibat banjir kekal direkodkan di Pahang setakat ini iaitu 11 di Bentong, Temerloh (empat), masing-masing dua di Kuantan dan Raub serta satu lagi di Pekan.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai, masing-masing satu di Sungai Dong, Kampung Peruas, Raub dan Sungai Kundang, Maran, merekodkan air sungai melepasi paras waspada.