Input your search keywords and press Enter.

PENJAWAT AWAM: DATANG DALAM DIAM, HANYA BAKTI JADI INGATAN

M Update, 30/12/2021 – Banjir besar dalam tempoh 50 tahun ini menjadi saksi akan kepelbagaian sikap, perangai dan karenah manusia.

Yang menjadi mangsa diuji dengan kehilangan harta benda, malah ada juga yang kehilangan nyawa dan keluarga.

Yang menyelamat pula diuji dengan proses menyelamat yang sukar lagi mencabar. Ditambah pula dengan perangai netizen Malaysia yang hanya tahu mencaci walhal mereka semua duduk di rumah sambil goyang kaki.

Sebagai salah seorang yang terkesan dengan banjir kali ini, kami hanya nampak betapa bertanggungjawabnya penjawat awam Malaysia yang bertungkus lumus bukan sahaja semasa banjir tetapi juga pasca banjir.

Saban hari ada sahaja yang datang dari pelbagai kementerian dan agensi demi membantu sambil membawa buah tangan bagi meredakan emosi kami yang sangat-sangat terganggu dan terkesan dengan tragedi sebegini.

Di saat netizen menuding jari dan mencari salah orang lain, kami menjadi saksi kepada keprihatinan dan kasih sayang sesama insan walaupun ada di antara penjawat awam ini turut menjadi mangsa banjir. Demi tugas dan tanggungjawab, mereka ini mendahulukan rakyat lain. Begitulah besarnya harga pengorbanan buat penjawat awam negara.

Ada juga penjawat awam yang datang dalam diam, yang membantu membersihkan selut dan lumpur. Tahu-tahu rumah dah bersih dan selesa. Lalu mereka pun beransur pulang tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Jika dahulu ada yang berkeras mahu mengurangkan bilangan penjawat awam negara. Kata mereka penjawat awam ni satu bebanan kewangan negara. Hari ini kita dapat lihat penjawat awam yang dihina satu masa dahululah yang telah menjadi penyelamat kami dan mangsa lain daripada maut ditelan air bah. Mereka juga kini bak benteng kepada proses pemulihan pasca banjir yang sangat-sangat membantu mangsa banjir. Tanpa mereka, susah untuk kami menstabilkan gangguan hati, mental dan emosi.

Akhir kata, persetankan sahaja netizen yang tidak tahu pokok pangkal cerita. Biarkanlah mereka tenggelam dengan labu-labunya.

Mangsa Bah Besar
Sri Muda
Disember 2021