Input your search keywords and press Enter.

Pemandu ‘Lalok’ Dituduh Membunuh 4 Sekeluarga

M Update, 4/2/2022 – Pemandu lelaki didapati positif dadah yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer (KM) 2 Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), di sini, akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong, hari ini.

Suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Kertas siasatan kes terbabit diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong jam 9 pagi ini. Atas arahan Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh empat individu dalam kemalangan tersebut.

Dalam kemalangan jam 2.30 petang pada 28 Januari lalu, suri rumah Raihan Mohamad, 43, maut bersama tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4.

Mangsa dalam perjalanan mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur sebelum kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki mereka dari Gua Musang itu dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara dipandu suspek.

Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan dinaiki suspek yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah menemui satu tiub straw lutsinar mengandungi syabu. – Harian Metro