Input your search keywords and press Enter.

Pemeriksaan Suhu Badan Tidak Wajib Di Sekolah Mulai Hari Ini

M Update, 11/02/2022 – Pemeriksaan suhu sebelum memasuki premis institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak diwajibkan mulai hari ini.

Bagaimanapun, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera.

Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah. Bagi murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya. Ketetapan itu disaran turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.

Selasa lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari.