Input your search keywords and press Enter.

Bakal Jemaah Haji Diminta Tidak Serahkan Sebarang Deposit

M Update, 02/03/2022 – Bakal jemaah yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji melalui syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada musim haji kali ini diminta untuk tidak menyerahkan sebarang wang deposit selagi belum mendapat surat tawaran tunai haji.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana setakat ini TH masih menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun ini daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“TH menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pelantikan 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai PJH bagi musim haji 1443H/2022M menerusi penyerahan lesen PJH oleh TH di Menara TH di sini baru-baru ini, adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun. Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya.

Beliau berkata, antara penerima lesen PJH pada kali ini ialah anak syarikat TH iaitu Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS).

Menurut Syed Saleh, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH telah diberikan taklimat berkaitan terma dan syarat perkhidmatan pakej haji musim haji 1443H/2022M.

Beliau berkata, senarai PJH yang menerima lesen PJH boleh disemak di laman web rasmi TH iaitu http://www.tabunghaji.gov.my. – BH