Input your search keywords and press Enter.

Bazar Ramadan: Tiada Arahan Wajib Suntik Dos Penggalak Kepada Peniaga, Pengunjung

M Update, 07/03/2022 – Kementerian Kesihatan (KKM) tiada mengeluarkan sebarang arahan atau ketetapan supaya suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 diwajibkan bagi pembukaan bazar Ramadan oleh peniaga tempatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan arahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau penganjur bazar berkenaan.

“KKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan atau syarat kepada PBT untuk beri ‘booster’ (dos penggalak). Ini semua adalah bidang kuasa pihak berkenaan. Jika pasar malam, ia adalah (bawah bidang kuasa) PBT, dan di masjid pula Jabatan Agama Islam Negeri. Kita memberikan nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar, kena ‘booster.

Ditanya sama ada keperluan dos penggalak diwajibkan terhadap peniaga bazar, beliau menafikan perkara itu berlaku.

Isu suntikan dos penggalak diwajibkan terhadap peniaga bazar Ramadan, tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik surat arahan sebuah PBT yang meletakkan syarat tiga suntikan vaksin COVID-19, termasuk dos penggalak, ke atas peniaga dan pembantu gerai berkenaan.

Wanita itu turut dikata menyalahkan Khairy kerana menyangka beliau mengeluarkan arahan sedemikian. – BH