M Update, 15/03/2022 – Orang ramai dinasihatkan mengambil berat amaran dikeluarkan pihak berkaitan supaya lebih bersedia menghadapi fasa peralihan monsun yang bermula semalam hingga pertengahan Mei depan, bagi mengurangkan kesan bencana.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ciri fasa peralihan monsun ialah ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang berlaku dalam tempoh singkat kebiasaannya satu hingga tiga jam.
Beliau menjelaskan, ia berbeza dengan Monsun Timur Laut yang mana hujan berlaku dalam skala besar dan berlarutan untuk tempoh panjang,
“Kalau Monsun Timur Laut, episod hujan berpanjangan dan biasanya kita memberi amaran lebih awal dua atau tiga hari sebelum berlaku banjir sebab taburan hujan yang boleh kita cerap.
“Bagi fasa peralihan monsun pula, hujan berlaku di tempat tertentu, maka risiko banjir kilat akan berlaku. Hujan turun merata adalah lebih ringan berbanding apabila turun setempat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai perbezaan hujan dan kesan bencana ketika Monsun Timur Laut berbanding fasa peralihan monsun, serta langkah kerajaan menghadapinya.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan kerjasama baik dengan pelbagai agensi, termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), selain mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani bencana di negara ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan perundingan untuk menyampaikan maklumat segera melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya amaran dapat disalurkan kepada orang ramai.
“Apa yang penting, kita juga harus mengambil berat dengan amaran-amaran ini supaya kita lebih bersedia. Insya-Allah dengan pelbagai pihak yang bersama-sama ini, kita berharap kesan bencana dapat diminimumkan,” katanya. – BERNAMA