Input your search keywords and press Enter.

PDRM Kesan Wanita Sebar Berita Palsu Vaksin, Gagal Hadir Ke Mahkamah

M Update, 18/03/2022 – Polis sedang mengesan seorang wanita yang dikenali sebagai Liyana Razali kerana gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan susulan mengeluarkan kenyataan tidak benar berkaitan vaksin COVID-19 pada September tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata suspek yang beralamat terakhir di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor itu gagal hadir ke mahkamah pada 21 Jan dan tarikh baharu yang ditetapkan pada 10 Feb lepas untuk didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Pihak polis telah menjalankan siasatan berkaitan kenyataan yang dikeluarkannya bahawa dua orang murid telah meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19 pada 28 Sept tahun lalu dan siasatan lengkap mendapati ia tidak benar.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya dan arahan telah dikeluarkan supaya penama ini dituduh, namun masih gagal hadir ke mahkamah pada kedua-dua tarikh itu.

“Satu waran tangkap telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah kepada penama. Pihak polis telah membuat pelbagai usaha untuk mengesannya untuk hadir ke mahkamah namun gagal dijumpai dan dihubungi.

Justeru, katanya pihak polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam untuk mengesan wanita itu bagi tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh DSP Mohd Zulkefly Mohd Mukhtar di talian 012-4336999.

Pada 29 Sept lepas, polis Perak menerima dua laporan berkaitan dakwaan kematian dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di sini kononnya disebabkan suntikan vaksin COVID-19.

Rakaman video menunjukkan seorang wanita mendakwa empat pelajar termasuk dua pelajar SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksinasi tular menerusi media sosial sejak 28 Sept.

Hasil siasatan awal pihak polis mendapati pelajar perempuan tingkatan lima sekolah itu meninggal dunia pada 18 Ogos lepas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini akibat masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif COVID-19.

Seorang lagi pelajar lelaki tingkatan lima sekolah berkenaan pula meninggal dunia pada 17 Sept lepas di hospital sama akibat penyakit jantung berlubang.

Kedua-dua pelajar itu belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan kematian mereka disahkan sebelum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja di Perak yang bermula pada 20 Sept lepas.