Input your search keywords and press Enter.

Boleh Daftar Kredit E-Tunai Bermula Hari Ini bagi Pelajar IPT

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 11/04/2022 – Golongan belia berusia di antara 18 sehingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi tempatan boleh mendaftar kredit e-tunai bernilai RM150 bermula hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, golongan itu boleh mula mendaftar untuk menerima kredit e-tunai dengan salah satu daripada empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

MOF berkata, ini adalah langkah yang diambil di bawah Belanjawan 2022, di mana kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula.

Selain daripada RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk pulangan tunai, baucar, mata terkumpul atau ‘coins’ sepanjang tempoh program ini.

Program ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat ini.

MOF berkata, program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2022 (lahir pada tahun 2002 hingga 2004).

Selain itu, katanya, ia akan turut diberikan kepada pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di institusi pengajian tinggi tempatan yang berdaftar.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula ini akan bermula hari ini sehingga 1 Jun 2022, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan dari penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html.

Bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, sila layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html. – BH