Input your search keywords and press Enter.

Nicky Liow Mengaku Tidak Bersalah Ubah Wang Haram RM36 Juta

M Update, 12/04/2022 – Ahli perniagaan, Nicky Liow berdepan pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM36 juta di bawah 26 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Hakim kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin berserta syarat lain iaitu melaporkan diri ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ahli perniagaan dalam buruan itu akhirnya menyerah diri kepada polis selepas setahun menyembunyikan diri. Nicky, 34, yang juga pengasas Winner Dynasty Group menyerah diri di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Menara KPJ, Jalan Tun Razak, dekat sini 11 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara  itu. Media sebelum ini melaporkan, Nicky diburu selepas operasi besar-besaran dilakukan oleh Polis Johor.

Menerusi serbuan berasingan di Puchong, Selangor, sebanyak 12 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri. Sindiket itu sebelum ini disyaki terbabit dalam pelbagai jenis kes penipuan dalam talian. Nicky juga pernah ditahan kerana mencederakan dua anggota Jabatan Sukarelawan (Rela) yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, lima tahun lalu. – Utusan