Input your search keywords and press Enter.

Suspek Serangan Kereta Api Bawah Tanah New York Ditahan

Foto: CBS News

M Update, 14/04/2022 – Lelaki disyaki menembak 10 penumpang dalam kereta api bawah tanah di Brooklyn, di sini, ditahan petang semalam selepas 30 jam diburu, demikian kata Xinhua memetik pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis New York City, Keechant Sewell berkata, suspek, Frank James, ditahan di Manhattan selepas polis menerima maklumat.

“James, 62, disyaki melepaskan bom tangan asap dan sekurang-kurangnya 33 tembakan menggunakan pistol di dalam kereta api bawah tanah pada waktu puncak pagi Selasa,” katanya ketika sidang media.

Serangan itu menyebabkan lebih 20 orang cedera dengan 10 daripadanya akibat tembakan, bagaimanapun tiada kecederaan mengancam nyawa dilaporkan.

Peguam Amerika Syarikat (AS) untuk Daerah Timur New York, Breon Peace berkata, James didakwa kerana melanggar larangan persekutuan bagi serangan pengganas dan keganasan lain terhadap sistem pengangkutan awam.

“Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga seumur hidup,” katanya ketika sidang media sama.

James mempunyai rekod sembilan tangkapan sebelum ini di New York dan tiga lagi di New Jersey, menurut pihak berkuasa.

Pihak berkuasa mengenal pasti James sebagai orang dikehendaki pada malam Selasa, namun motif serangan masih tidak jelas dan siasatan lanjut diteruskan.

Serangan berlaku ketika bandar itu sedang bergelut untuk menangani insiden tembakan yang meningkat sebanyak 16.2 peratus kepada 115 pada Mac berbanding setahun lalu, menurut data daripada Jabatan Polis New York. – BERNAMA