M Update, 18/04/2022 – Orang ramai termasuk pelancong asing masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam berikutan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, peruntukan dalam akta itu masih perlu dipatuhi.
“Akta 342 masih berkuat kuasa di fasa peralihan, mereka ini kena patuh kepada semua langkah kesihatan awam atau SOP yang sudah ditetapkan, Jika tidak, tindakan boleh diambil keatas individu berkenaan (yang melanggar SOP),” katanya kepada BH, hari ini.
Dalam fasa peralihan endemik yang dilaksanakan sejak 1 April lalu, pemakaian pelitup muka dan daftar masuk menggunakan MySejahtera masih berkuat kuasa dan boleh dikenakan denda mengikut Akta 342. Menerusi Akta 342 itu, mana-mana individu yang melanggar kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dr Noor Hisham sebelum ini turut mengingatkan orang ramai untuk tidak leka dan terus memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di kawasan berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19. Beliau berkata ancaman bahaya virus SARS-CoV-2 tidak boleh diabaikan sama ada ketika dalam fasa peralihan ke endemik mahupun fasa endemik.
Dr Noor Hisham menjelaskan, ini kerana virus SARS-CoV-2 amat mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan (respiratory droplets). Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sekiranya pembawa virus COVID-19 tidak memakai pelitup muka, ia akan memberi risiko jangkitan yang tinggi kepada individu sihat serta tidak memakai pelitup muka.
“Risiko akan menjadi sederhana tinggi apabila pembawa COVID-19 tidak memakai pelitup muka walaupun individu sihat memakai pelitup muka. Risiko akan menjadi rendah sekiranya pembawa jangkitan berkenaan memakai pelitup muka apabila berjumpa individu sihat tanpa pelitup muka. Bagaimanapun yang terbaik ialah kedua-dua individu terbabit memakai pelitup muka dan risiko penularan menjadi sangat rendah.
Ini berdasarkan kemungkinan terdapat individu yang tidak tahu dijangkiti COVID-19, berada di kawasan umum kerana tidak bergejala. Oleh itu, pakailah pelitup muka sebagai perisai bagi orang di sekeliling kita, terutama golongan berisiko tinggi,” katanya.
Dr Noor Hisham turut menyarankan orang ramai supaya memakai pelitup muka dengan betul, iaitu dengan menutup hidung serta mulut sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meletak pelitup itu di bawah atau hujung hidung.
“Elakkan kebiasaan membiarkan dagu terdedah, menurunkan pelitup muka ke bahagian dagu, atau memakai pelitup muka yang longgar,” katanya. – BH