Input your search keywords and press Enter.

3 Masjid Utama Baca Doa Qunut Nazilah Demi Palestin

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 21/04/2022 – Tiga masjid utama iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini akan melaksanakan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat sunat witir setiap malam bermula malam semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, ia merupakan inisiatif jabatan itu khusus untuk keselamatan dan keamanan di bumi Palestin.

“Umum mengetahui konflik di Palestin telah berlangsung sejak sekian lama. Terkini Masjidil Aqsa diceroboh dalam keadaan umat Islam sedang memberi tumpuan beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata, Jakim turut memohon kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia untuk bersama-sama mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing.

Lebih 100 rakyat Palestin dilaporkan cedera dalam pertempuran antara tentera Israel dan rakyat Palestin apabila tentera Zionis menyerbu perkarangan masjid di Baitulmaqdis selepas solat Subuh pada Jumaat (15 April). – Bernama