M Update, 01/06/2022 – Kerajaan tidak mengawal harga pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima tahun ke atas yang terpaksa mendapatkan imunisasi itu di fasiliti kesihatan swasta, bermula hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata bayaran vaksinasi itu bagi kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) sebelum ini, adalah bergantung pada fasiliti kesihatan swasta yang dikunjungi bermula hari ini.
“Ia bergantung pada pihak swasta untuk mengenakan bayaran yang turut membabitkan caj konsultasi, peralatan dan perkhidmatan. Bagaimanapun, harga vaksin itu perlu mengikut kadar siling ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2022, semalam.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan semalam sebagai tempoh terakhir pemberian dos pertama bawah PICKids.
Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata, KKM akan memfokus untuk menyelesaikan pemberian vaksin kepada 300,000 kanak-kanak bakal berusia lima tahun selepas 31 Mei (semalam), yang akan diberi masa mendaftar bermula hari ini hingga 31 Januari tahun depan.
“Hingga kini, KKM belum membuat keputusan berhubung pemberian vaksin dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun, kerana ingin memfokus kepada kumpulan 300,000 kanak-kanak itu terlebih dahulu yang dijangka boleh melonjakkan peratusan,” katanya.
Dr Noor Azmi berkata, sejak pelancaran PICKids pada 3 Februari lalu, seramai 1,720,411 atau 48.4 peratus kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerima sekurang-kurang satu dos vaksin COVID-19, dengan 1,171,888 (33 peratus) sudah lengkap dua dos.
Beliau berkata, dianggarkan seramai 548,523 kanak-kanak akan menerima suntikan dos kedua selewat-lewatnya 30 Ogos depan.
“Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, bermula 1 Jun 2022 hingga 31 Januari 2023, PICK hanya menawarkan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang baru berusia 5 tahun pada atau selepas 31 Mei 2022, melalui Klinik Kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Ibu bapa yang berhasrat memberi vaksinasi kepada anak yang baru mencapai 5 tahun, dinasihatkan mendaftar dan menempah janji temu melalui aplikasi MySejahtera. Selain itu, ibu bapa juga boleh membuat janji temu secara terus di Klinik Kesihatan KKM,” katanya.
Sumber: Berita Harian