Input your search keywords and press Enter.

Penularan COVID-19 Di Makkah Terkawal, SOP Dilonggarkan

M Update, 01/06/2022 – Wabak Covid-19 di Makkah dilaporkan sudah semakin terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) turut dilonggarkan tanpa pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka, kata Konsul Haji Malaysia, Tabung Haji (TH) di Jeddah, Muhammad Saimi Mat Som.

Meskipun terdapat kelonggaran, beliau masih menyarankan jemaah haji Malaysia untuk terus memakai pelitup muka bagi mengurangkan sebarang risiko jangkitan.

“SOP jemaah haji telah dilonggarkan dan mereka hanya perlu memakai pelitup muka di kawasan tertutup.

“Tetapi sebagai langkah berjaga-jaga saya nasihatkan jemaah Malaysia terus memakainya kerana jumlah jemaah akan terus meningkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas menyambut ketibaan 84 petugas TH di Jeddah pada Isnin.

Kerajaan Arab Saudi membenarkan seramai satu juta jemaah haji berumur di bawah 65 tahun menunaikan ibadah rukun kelima itu pada tahun ini. Menurut Muhammad Saimi, jemaah haji juga akan didedahkan dengan aplikasi TH Hujjaj bagi memudahkan penyaluran maklumat penting terutama mengenai penginapan, pergerakan bas, kesihatan dan panduan ibadah haji.

“TH akan cuba salurkan maklumat secara digital, bagi jemaah yang berumur masih boleh mendapatkan sedikit panduan daripada anak-anak untuk memuat naik aplikasi berkaitan urusan haji terutama TH Hujjaj.

Pelbagai maklumat akan disalurkan di situ, begitu juga dengan kenyataan semasa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi….insya-ALLAH TH akan pastikan semua maklumat dapat disampaikan kepada bakal haji,” katanya. – Sinar Harian