M Update, 13/06/2022 – Malaysia dan Singapura memperhalusi usaha ke arah memperkukuh kerjasama pertahanan terutama antara angkatan tentera kedua-dua negara, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Susulan lawatan kerja selama tiga hari di Singapura bermula Jumaat lalu, katanya, langkah itu adalah hasil mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Dr Ng Eng Hen.
“Selain itu, saya dan Ng turut berbincang mengenai beberapa isu keselamatan serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan diadakan sempena lawatan kerja itu bagi memenuhi jemputan ke Shangri-La Dialogue anjuran The International Institute for Strategic Studies.
Katanya, selain Ng, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, Menteri Kanan dan Menteri Koordinasi Keselamatan Kebangsaan, Teo Chee Hean dan Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang, K Shanmugam.
“Gembira untuk saya laporkan, pertemuan bersama pemimpin terbabit berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan harmoni serta benar-benar menyerlahkan hubungan akrab dan istimewa antara Malaysia dan Singapura yang terjalin selama puluhan tahun,” katanya. – Berita Harian