M Update, 04/07/2022 – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memberi bayangan kerajaan tidak menolak untuk menyediakan bantuan tunai tambahan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) jika kenaikan harga barangan terus berlaku.
Ia bagi membantu meringankan beban golongan B40 yang terus terkesan dengan kos sara hidup sekiranya kenaikan harga barang terus berlaku.
Ismail Sabri berkata, ketika ini isi rumah golongan B40 menerima manfaat bantuan bernilai RM2,600 secara berperingkat.
“Dengan penambahan RM500 mereka menerima RM2,600 setahun (termasuk penambahan RM100 baru-baru ini). Dahulu tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan beri lebih dari RM2,000.
“Kalau kes (kenaikan harga barang dan kos sara hidup) belum selesai mungkin kita akan tambah lagi (BKM) Fasa 3 atau 4,” katanya dalam ucapannya pada Kenduri Rakyat di Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak di Litar Dato’ Sagor, semalam. – Harian Metro