Input your search keywords and press Enter.

Jangan Beli Air Zam Zam Dalam Negara

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 04/07/2022 – Orang ramai dinasihatkan tidak membeli air zam zam yang dijual secara komersial di dalam negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata air berkenaan tidak dapat dipastikan ketulenannya.

“Orang perseorangan atau jemaah tidak dibenarkan membawa balik kerana Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mereka membawa keluar air zam zam. Bagaimana mereka boleh membawa dengan kuantiti yang banyak,” katanya semalam.

Ahmad Marzuk berkata, hanya Tabung Haji dan agensi pengendali umrah dan haji yang dibenarkan membawa pulang air zam zam bagi pihak jemaah, sebelum jemaah mengambilnya di lapangan terbang.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen, bagi mengimport dan menjual air zam zam.

Infografik BKKM

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM, setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport. – Berita Harian