Input your search keywords and press Enter.

Siti Nuramira Dibebaskan Dengan Jaminan JAWI

M Update, 20/07/2022 – Wanita tular yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan tidak akan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini.

Media yang berkumpul sejak jam 8 pagi ini untuk membuat liputan pendakwaan itu, bagaimanapun difahamkan ia tidak akan diteruskan. Ini kerana ia membabitkan tuduhan bersifat sama dan hukuman dihadapi wanita terbabit jika disabitkan kesalahan melalui pertuduhan di mahkamah sivil adalah lebih berat daripada hukuman diperuntukkan melalui tuduhan mahkamah syariah.

Paralegal kepada peguam R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir dalam kenyataan hari ini berkata, beliau menerima panggilan daripada pegawai JAWI jam 10 malam tadi yang memaklumkan wanita itu akan dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh JAWI dengan serta merta.

Menurut Hannann Syoffeeya, beliau turut dimaklumkan bahawa JAWI akan berhubung dengan Siti Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan.

Semalam, Siti Nuramira ditahan penguat kuasa JAWI selepas dibebaskan dengan jaminan berkaitan pertuduhan menghina Islam yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 oleh seorang penjamin.

Pada hari yang sama, teman lelakinya V Alexander Navin mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial. – Berita Harian