Input your search keywords and press Enter.

‘Abah Layan Macam Anak Sendiri’ – Pegawai Akui Demam

M Update, 22/07/2022 – Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang tular rebah ketika perbarisan Hari Penguat Kuasa semalam mengesahkan dia berada dalam keadaan tidak sihat pada hari kejadian.

Nik Mohamad Adhar, 22, berkata dia mengalami demam sejak tiga hari lalu, lapor Sinar Harian.

“Pagi tadi pun saya masih demam,” kata anggota penguat kuasa KPDNHEP yang bertugas di Tawau, Sabah ini.

Pemuda yang berasal dari Tumpat, Kelantan ini turut menjelaskan insan yang mengangkat dan memeluknya di tengah-tengah padang kawad itu merupakan bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’acob, 60, yang mesra dipanggilnya “abah”.

“Abah, bapa saudara saya.

“Emak kandung saya meninggal dunia ketika saya berusia tiga bulan, manakala ayah pula meninggal sewaktu saya berumur tujuh tahun,” katanya lagi.

Nik Mohamad Adhar berkata dia dijaga oleh Abdul Aziz dan ibu saudara, Rosmawati Ismail, 53, yang dipanggilnya “emak” sejak usia tiga bulan.

Menurutnya, meskipun berstatus anak saudara, layanan Abdul Aziz tidak pernah berbeza dengan enam anaknya yang lain.

“Dari kecil sampai sekarang, layanannya sama seperti anak sendiri,” katanya lagi.

Menceritakan peristiwa rebah itu, dia berkata itu bukan kali pertama insiden itu berlaku.

“Sebenarnya semasa abah datang melulu tu, itu kali kedua saya rebah. Kali pertama saya masih boleh bangun dan kedua, abah datang,” kata Nik Mohamad Adhar.

Detik Nik Mohamad Adhar diangkat dan dipeluk selepas rebah ketika acara kawad sempat dirakam jurugambar dan dimuat naik di Facebook oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Ketika terkujurnya anak tatkala berkawad, kerana menahan terik mentari, berlari si ayah menerpa dari arah khemah tetamu. Sehingga terlucut selipar yang disarung, namun tidak diendahkan, asalkan beliau berada di sisi anak dalam sekelip mata,” katanya.

Menyifatkan gambar-gambar tersebut memaparkan kasih sayang seorang bapa yang tidak berbelah bahagi, Alexander berkata, beliau tidak mampu menahan air mata melihat apa yang berlaku di depan matanya. – Astro Awani