Input your search keywords and press Enter.

Hukuman Alternatif Ganti Hukuman Sebat Dikaji Semula

M Update, 22/08/2022 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpandangan hukuman sebat yang diguna pakai pada masa ini terlalu kejam dan tidak berperikemanusian.

Beliau berpandangan hukuman yang diwarisi sejak zaman penjajah itu perlu dikaji semula. Katanya, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi membuat kajian selain mendengar input semua pihak termasuk pemegang taruh.

“Oleh kerana kementerian dan juga Jabatan Peguam Negara (AGC) sekarang sedang mengkaji hukuman alternatif, jadi dalam hukuman alternatif itu termasuklah sebatan dan sebagainya.

“Jadi saya melihat sebatan sehingga 15 kali itu keterlaluan, kejam dan tidak berperikemanusiaan, yang tiga kali (sebat) sudah pengsan, kalau (15) setengah mati.

“Jadi dalam keadaan demikian saya hendak kaji secara holistik bersama dengan pihak-pihak tertentu,” katanya kepada media selepas berucap pada Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan semalam.

Beliau juga mempersoalkan kenapa hukuman sebatan yang diwarisi dari pihak penjajah masih terus dikekalkan sehingga kini.

“Kenapa orang di Malaysia kena sebat, kenapa di England tidak disebat, kenapa undang-undang di England tiada sebat. Jadi kalau dia tiada sebat, kenapa tinggal kita yang masih ada sebat, pada hal dua, tiga kali sebatan sudah hancur daging,” katanya.

Tambah Wan Junaidi, undang-undang seharusnya memberikan kuasa kepada hakim untuk menggunakan budi bicara mereka dalam menjatuhkan hukuman.

“Jadi kita mahu pihak kehakiman memberitahu kita apa yang ada dalam fikiran mereka, supaya mereka tak dipaksa untuk laksanakan hukuman sedemikian.

“Contohnya orang ini mungkin diberi hukuman 40 tahun dengan 15 sebatan. Kalau macam ini kenapa tidak sebatan itu dikurangkan contoh daripada 15 kepada lima, jadi hakim hanya boleh beri hukuman maksimum, walau dia marah macam mana pun, dia ikut bukti di depan dia, tapi tak boleh juga lebih lima sebatan.

“Jadi kita nak bagi balik kepada hakim untuk buat keputusan. Kalau seseorang (pesalah) dengan latar belakang kes yang sangat teruk, contohnya masa dia ditahan sebelum bunuh orang itu, dia dera, aniaya dengan kejam sekali, jadi hakim boleh menggunakan budi bicaranya (untuk hukuman sebatan),” katanya.

Ditanya sama ada hukuman sebatan itu wajar dihapuskan, beliau berkata perkara itu bergantung kepada kajian yang akan dilakukan termasuk maklum balas pemegang taruh.

Ditanya hukuman alternatif bagi sebatan, Wan Junaidi berkata, sebatan mengikut pelaksanaan hukum Islam adalah lebih baik berbanding cara hukuman sebatan ketika ini. – Berita Harian