Input your search keywords and press Enter.

Perkhidmatan Tren Bermula Seawal 4.30 Pagi Pada 31 Ogos

Foto: Rapid KL

M Update, 23/08/2022 – Semua operasi rel merangkumi tren Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel akan bermula pukul 4.30 pagi pada 31 Ogos ini, bagi memberi peluang kepada warga kota menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka. 

Selain itu, Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan kekerapan tren juga akan ditambah mengikut keperluan semasa operasi.

“Operasi tren yang diawalkan melibatkan laluan LRT Ampang/Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, Monorel KL, MRT Kajang dan MRT Putrajaya. Warga kota yang ingin ke Dataran Merdeka pada hari tersebut, digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya sebelum ini menasihatkan orang ramai yang ingin hadir ke majlis sambutan dan perarakan itu, agar merancang perjalanan serta menggunakan pengangkutan awam berikutan penutupan beberapa jalan utama.

Beliau berkata lapan jalan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup dan dilencongkan bagi tujuan keselamatan dan kelancaran sambutan berkenaan.

Hari Kebangsaan 2022 kembali diadakan secara besar-besaran di Dataran Merdeka selepas dua tahun sambutannya dalam skala yang kecil berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara. – Bernama