Input your search keywords and press Enter.

Macau Scam: Penjawat Awam Rugi RM429,000

M Update, 26/08/2022 – Seorang penjawat awam di sini, ‘berputih mata’ selepas kerugian RM429,000 apabila diperdaya sindiket penipuanĀ Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang wanita berusia 50 tahun berkaitan kejadian itu pada Rabu lalu.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor talian tidak dikenali di mana seorang individu dalam talian itu memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai’ daripada Pos Malaysia Berhad pada 24 Mei lalu.

“‘Pegawai’ Pos Malaysia Berhad itu memberitahu mangsa bahawa terdapat satu bungkusan mengandungi barang terlarang iaitu sekeping kad pengenalan dan lima keping kad bank didaftarkan atas nama mangsa untuk dihantar ke Sabah. Bagaimanapun, mangsa menafikan berkenaan hal ini dan diminta untuk membuat laporan polis apabila panggilan telefon disambungkan ke sebuah balai polis di Sabah.

“Selepas panggilan itu disambungkan, mangsa terkejut apabila diberitahu bahawa nama dan nombor kad pengenalannya didapati terbabit dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan mangsa diminta untuk membuat beberapa kali transaksi bayaran bagi menyelesaikan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, disebabkan takut dengan situasi yang berlaku, mangsa yang percaya dengan dakwaan itu kemudian membuat 10 kali transaksi bayaran dari 27 Jun hingga 30 Julai lalu ke beberapa akaun bank yang diberikan.

“Mangsa menyedari dirinya tertipu dan rugi sebanyak RM429,000 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Arau pada Rabu lalu,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihaknya giat mengesan suspek. – Harian Metro