Input your search keywords and press Enter.

Tanah Mendap: Enam Rumah Runtuh

KEJADIAN tanah mendap di Rumah Rakyat Batang Benar. FOTO Ihsan APM dan Bomba.

M Update, 30/08/2022 – Sekurang-kurangnya enam kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar, di sini, mengalami keretakan dan runtuh akibat pemendapan tanah susulan hujan lebat di kawasan itu, petang semalam. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi bagi bantuan menyelamat, namun difahamkan setakat jam 10 malam tadi, keadaan masih terkawal.

“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin dengan bantuan BBP Nilai ke lokasi dan meminta penduduk mengosongkan rumah bagi tujuan keselamatan. Berdasarkan laporan awal, kami mendapati sekurang-kurang enam rumah yang terjejas dalam kejadian ini, namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, kejadian hujan lebat di daerah berkenaan itu juga menyebabkan lebih 50 rumah penduduk di Taman Andalas dan Kampung Batang Benar dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, bagaimanapun sehingga jam 8 malam tadi, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan dibuka di lokasi itu.

“Hujan lebat bermula kira-kira jam 6.30 petang menyebabkan dua kawasan iaitu Taman Andalas dan Kampung Batang Benar dinaiki air sehingga mencecah 0.3 meter. Kami difahamkan sistem peparitan dalaman yang sedia ada tidak dapat menampung kuantiti larian air permukaan dan melimpah daripada lot-lot kebun bersebelahan Taman Andalas.

“Anggota kami bersama agensi lain turut membantu penduduk. Bacaan paras air sungai berdekatan juga dan sudah kembali normal,” katanya.

Kami memantau situasi dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap. Bagaimanapun, air beransur surut kira-kira jam 9 malam dan penduduk mulai pulang ke rumah masing-masing dan melakukan kerja pembersihan. – Harian Metro