Input your search keywords and press Enter.

Tarikh PRU15 Akan Dibincangkan Dalam Mesyuarat Kabinet Esok – PM

Foto Hiasan

M Update, 20/09/2022 – Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan berlangsung esok.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Tenaga Negara 2022-2040, semalam. Katanya, beliau akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila tarikh PRU patut diadakan.

“Kalau Muhyiddin (Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata nak PRU-15 cepat, kita akan bincang dalam mesyuarat Kabinet kerana ada wakil parti dalam Kabinet. “Ada wakil BERSATU, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan UMNO,” katanya.

Terdahulu ketika ditanya bila perbincangan mengenai PRU-15 itu akan diadakan, Perdana Menteri berkata secepat mungkin, kemungkinan lebih mendahului daripada mesyuarat ‘Top Five’ yang merujuk perbincangan lima kepemimpinan tertinggi UMNO.

“Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum berlepas ke Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA). Mungkin saya boleh bawa dalam mesyuarat Kabinet minggu ini,” katanya.

Kenyataan Perdana Menteri itu selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali seperti diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, tarikh pilihan raya belum dibincangkan dengan kepemimpinan tertinggi UMNO. Kebiasaannya, beliau berkata ada mesyuarat bersama lima kepemimpinan utama UMNO serta Biro Politik parti berkenaan.

“Saya belum dapat lagi tarikh, tapi tarikh untuk Majlis Kepemimpinan Tertinggi (MKT) sudah ada iaitu 30 September ini. Mungkin petang itu kita akan bincang,” katanya. – Berita Harian