Input your search keywords and press Enter.

BERAS KITA BELI: SEKURITI MAKANAN

Beras adalah sumber makanan ruji utama di Malaysia dan kebanyakan negara di benua timur Asia. Dari beras bertukar menjadi nasi yang menjadi sajian utama di kebanyakan isi rumah untuk tujuan sarapan, makan tengahari dan makan malam. Walaupun terdapat kepelbagaian sumber makanan lain berasaskan kabohidrat, nasi telah menjadi sebati dengan cara hidup rakyat Malaysia. Nasi yang terhasil dari beras yang ditanak adalah perkara asas terhadap kelangsungan hidup rakyat Malaysia.

Malaysia yang makmur dengan bumi yang subur turut mempunya jelapang padi yang menghasilan beras bagi pasaran tempatan. Namun disebalik kesuburan tanah di Malaysia, jumlah beras yang dihasilan tidak mencukupi untuk keperluan tempatan. Justeru Malaysia terpaksa mengimport beras dari negara-negara pengeluar seperti Thailand, Vietnam dan India demi menampung keperluan makanan asas ini. Kebergantungan Malaysia terhadap bekalan dari sumber asing ini amat penting kerana tanpa pengeluaran dalam negara yang mencukupi untuk menampung bekalan makanan asas ini, sudah pasti menjejaskan kelangsungan hidup rakyat Malaysia. Dan ini lah jaminan sekuriti makanan yang mempunyai impak besar sekiranya bekalan dari negara pembekal terjejas. Samada bekalan dari negara pembekal tidak mencukupi, ataupun berlaku kenaikan harga, ia akan memberi kesan langsung kepada keupayaan rakyat membeli beras pada harga yang berpatutan.

Mutakhir ini menyaksikan kesan peperangan di Ukraine yang menyebabkan bekalan gandum dunia terganggu. Apabila Ukraine sebagai salah sebuah negara pembekal gandum tidak dapat menghasilkan jumlah gandum yang mencukupi, maka sumber bekalan dari negara lain terpaksa menampung kekurangan ini yang menyebabkan harga gandum melambung. Kesan kekurangan bekalan gandum dan kenaikan harganya telah menyebabkan negara-negara yang makanan rujinya berasaskan gandum terpaksa berhadapan kenaikan harga yang menekan kehidupan rakyat. Kebanyakan negara-negara di Afrika dan Asia Barat mengalami impak langsung dari kekurangan bekalan dan kenaikan harga gandum di pasaran dunia. Malahan Malaysia turut tidak terkecuali. Ini diburukkan apabila negara-negara Maju di Eropah membolot dengan rakus stok gandum dunia. Kekurangan bekalan gandum telah turut menyebabkan beras menjadi sumber alternatif karbohidrat. Ini secara langsung membawa kepada peningkatan permintaan bekalan beras kepada negara- negara pengeluar. Malahan negara pengeluar beras turut terpaksa memastikan makanan ruji rakyatnya sendiri dapat di jamin bekalannya.

Memburukkan keadaan, berlakunya kemarau panjang di negara-negara pengeluar beras. India dan rantau indo-china mengalami kemarau yang teruk akibat perubahan iklim dunia. Kemarau yang berpunca dari ketidakstabilan berpunca perubahan iklim global menyebabkan penghasilan beras juga berkurangan. Dan akibat kekurangan bekalan, India sebagai salah sebuah negara pembekal beras terpaksa melaksanakan sekatan eksport bermula 9 September 2022 disebabkan bekalan domestiknya sendiri tidak mencukupi. Faktor ini telah menyebabkan negara pengeluar lain turut berhadapan terpaksa mengisi kekurangan bekalan akibat sekatan eksport beras oleh India. Kerajaan Thailand dan Vietnam telah memutuskan untuk bertemu pada Oktober 2022 bertujuan untuk membincangkan kenaikan harga beras yang dihasilkan oleh kedua-dua negara berkenaan. Ini memberi indikator bahawa, kenaikan harga beras dari negara pengeluar tidak dapat dielakkan lagi.

Dalam keadaan Ringgit Malaysia yang tidak kukuh, sekiranya kenaikan harga beras berlaku akan bermakna Malaysia terpaksa berhadapan kenaikan harga berganda terhadap beras import. Kenaikan harga berganda disebabkan faktor ini semestinya memberi kesan langsung kepada kuasa beli rakyat Malaysia. Sudah pasti harga beras tidak akan dapat dielak dari berhadapan kenaikan harga. Kenaikan harga terhadap barangan makanan asas akan memberi tekanan kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Gelobang kelesuan ekonomi dunia yang telah mula dirasakan oleh Malaysia memburukkan lagi situasi ini. Senario ini yang berpotensi serta berisiko benar akan berlaku merupakan realiti yang terpaksa di tanggung oleh rakyat Malaysia dan Kerajaan Malaysia. Sebarang bentuk kenaikan harga beras akan menjejaskan kelangsungan hidup rakyat dan memberi tekanan kepada Kerajaan. Kerajaan harus memastikan selain dari bekalan beras mencukupi, harga yang ditetapkan mampu untuk dibeli oleh rakyat. Adakah kerajaan terpaksa mempertingkat lagi subsidi kepada rakyat? Persoalanya adakah kerajaan mampu menampung jumlah subsidi yang semakin meningkat. Sekiranya masih mampu memberi subsidi, persoalan seterusnya adakah bekalan dari sumber import itu sendiri mencukupi?

Berdasarkan hubungkait situasi yang dirungkai, disimpulkan bahawa Malaysia terpaksa bersedia berhadapan dengan risiko kenaikan harga beras dan kekurangan bekalan dari sumber import dalam tempoh terdekat ini. Sudah semestinya kerajaan harus memulakan persediaan awal yang mana turut harus disambut oleh rakyat. Impak kekurangan bekalan beras serta kenaikan harga semestikan memberi pelbagai implikasi buruk. Baik pihak kerajaan mahupun rakyat perlu melihat kepada risiko yang nyata ini berpotensi berlaku. Gangguan bekalan beras serta peningkatan harganya bakal mengundang kesan-kesan limpahan yang mampu menggugat kestablilan sosial dalam negara. Sebarang kenaikan harga makanan ruji akan membawa kemarahan rakyat. Ironiknya gelombang revolusi ‘Arab Springmempunyai korelasi dengan kenaikan harga makanan dunia pada tahun 2011 dan 2012. Kerajaan boleh tumbang disebabkan gerakan rakyat yang kelaparan. Hungry people are angry people.

Hakikatnya situasi ini perlu dijadikan amaran agar meningkatkan keupayaan penghasilan beras tempatan untuk pasaran domestik harus distrategikan dengan lebih giat. Perubahan iklim yang sedang berlaku dengan ketidak tentuan di masa hadapan yang menyebabkan penghasilan beras global terjejas perlu di pandang serius oleh kementerian dan agensi berkenaan. Daya tahan Malaysia dalam berhadapan situasi ini harus dipertingkatkan. Jenaka klise ‘beras kita beli’ sudah pasti bukan jenaka apabila tiada beras untuk dibeli oleh Malaysia dari sumber negara asing. Mungkin telah tiba masa kita beranjak dari beras kita beli kepada beras kita tanam agar lebih relevan untuk sekuriti makanan Malaysia di masa panjang.

IBNU MUHSIN
23 SEPTEMBER 2022

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.