M Update, 30/09/2022 – Fasa Peralihan Monsun di negara ini dijangka bermula pada 3 Okt hingga November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 14 Mei.
“Semasa Fasa Peralihan Monsun itu, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Helmi berkata keadaan cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Beliau berkata orang ramai dinasihat untuk berwaspada ketika tempoh fasa peralihan cuaca itu dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web atau media sosial rasmi jabatan itu atau menerusi aplikasi mobil myCuaca.
Orang ramai boleh menghubungi talian utama MetMalaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya. – Bernama