Input your search keywords and press Enter.

Tragedi Berdarah Indonesia: Malaysia Perlu Ambil Iktibar

Foto: Media Sosial

M Update, 03/10/2022 – Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tragedi berdarah yang mengorbankan lebih 150 orang dalam rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Indonesia, kelmarin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata kejadian mengakibatkan kehilangan nyawa di negara jiran itu amat mendukacitakan.

“Kita mengucapkan takziah kepada Kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya, serta mendoakan mereka yang terkorban.

“Malaysia akan mengambil iktibar daripada kejadian itu dan belajar bagaimana untuk mengelak perkara berkenaan daripada berlaku bukan saja di sini, malah kita juga harap ia tidak berlaku di mana-mana,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan menghubungi rakan sejawat di Indonesia bagi memberi bantuan yang boleh disediakan susulan insiden buruk itu.

Foto: Media Sosial

Angka kematian akibat rusuhan pada pertembungan ‘derby Jawa Timur’ antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur, meningkat kepada 174 mangsa, menurut laporan Agensi Anadolu (AA) yang memetik Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta, semalam.

Selain itu, lebih 100 orang dilaporkan turut cedera dalam insiden berkenaan, dan sedang dirawat di lapan hospital.

Foto: Media Sosial

Sebuah video yang dikongsikan melalui media sosial menunjukkan peminat berpakaian merah dan biru, menyerbu padang selepas Arema tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya lalu bertembung dengan pasukan keselamatan.

Selepas penyokong pasukan tuan rumah yang kalah menyerbu padang, pegawai melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, sekali gus mencetuskan rempuhan dan kes sesak nafas.

Berikutan insiden rusuhan itu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil keputusan untuk menggantung saingan Liga Indonesia selama seminggu, selain dilapor mengharamkan Arema daripada menganjurkan perlawanan di laman sendiri hingga penghujung musim. – BERNAMA