Input your search keywords and press Enter.

PRU15: Jangan Ubah Suai Kereta Untuk Berkempen – JPJ

Foto: Facebook JPJ

M Update, 27/10/2022 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana parti politik yang melakukan modifikasi kenderaan untuk tujuan berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata sekiranya terdapat kenderaan didapati tidak menepati spesifikasi seperti yang ditetapkan Agensi Perkhidmatan Awam Darat sebagai kenderaan komersial, ia boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan.

“Tidak ada lesen besar untuk mana-mana parti membuat ubah suai kepada kenderaan mereka pada musim PRU ini,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan Op Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi, di sini malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Beliau juga berkata JPJ menjangkakan kenaikan aliran trafik menjelang hari pengundian pada 19 Nov dan menyeru pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. – Bernama