M Update, 05/01/2023 – Kerajaan negeri Sabah memutuskan semua pengembara dari China yang tiba di negeri ini perlu lengkap vaksinasi dan menunjukkan keputusan negatif ujian COVID-19 yang dibuat sebelum berlepas dari negara berkenaan.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ujian itu sama ada menggunakan kaedah RT-PCR atau RTK Ag Professional perlu dibuat dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.
Katanya, prosedur itu dikuatkuasakan mulai 8 Januari ini dalam usaha mengekang peningkatan semula kes COVID-19 di negeri ini.
“Ketika ketibaan, semua pengembara dari luar negara dikehendaki untuk menjalani saringan suhu (thermal scanner). Pengembara yang dikesan demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.
“Pengembara yang mempunyai gejala COVID-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen. Ketetapan ini berkuatkuasa mulai 8 Januari 2023,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, langkah pengurusan pengembara dari luar negara itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet negeri Sabah, semalam. – Berita Harian