Input your search keywords and press Enter.

PM Nyatakan Sokongan Hajiji Sebagai Ketua Menteri Sabah

Foto: Sabah News

M Update, 10/01/2023 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau merestui Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai Ketua Menteri.

“Ya, saya merestui beliau. Beliau adalah Ketua Menteri,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau merestui pentadbiran Hajiji, selepas mengadakan pertemuan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya, di sini, malam tadi, bagi merungkai kemelut politik yang sedang melanda negeri ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Hajiji; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Hajiji.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada Hajiji dan semua pihak berkaitan kerana mendengar pandangan dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di Sabah.

“Kita mahu Kerajaan Sabah yang kuat bawah kepemimpinan Hajiji.

“Esok (hari ini), satu rang undang-undang (RUU) penting untuk mengembalikan hak Sabah melalui pembentangan menteri Kabinet (persidangan Dewan Undangan Negeri).

“Ini satu perubahan yang besar. Bagi saya, ini adalah keutamaan… beri peluang kepada Ketua Menteri untuk bincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

Terdahulu selepas mengadakan pertemuan tertutup lain di Magellan Sutera, Anwar menjelaskan, keputusan berhubung kemelut politik di negeri ini berada dalam tangan pemimpin Sabah sendiri.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya mampu memberi nasihat dalam usaha mengatasi isu berkenaan, namun menyifatkan keadaan kini sudah semakin baik.

Katanya, beliau dan Ahmad Zahid mencari formula yang baik untuk jalan penyelesaiannya.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, ketika ditemui pemberita pula berkata pihaknya sudah memberi pandangan mengenai kemelut politik di negeri ini, pada pertemuan dengan Anwar di Magellan Sutera. – Berita Harian