Input your search keywords and press Enter.

‘Tiada Peluang Kedua Buat Syamsul’ – Puteri Sarah

M Update, 16/01/2023- “Saya sudah fikir masak-masak. Tiada peluang kedua untuk Syamsul,” kata pelakon, Puteri Sarah Liyana mengenai keputusan untuk memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Puteri Sarah berkata, keputusan yang dibuat hari ini adalah muktamad.

“Ini jalan terbaik. Keputusan saya muktamad,” katanya.

Sementara itu, Puteri Sarah yang tiba di Mahkamah Syariah pada jam 10.25 pagi dengan menaiki kereta jenis Mercedes-Benz kelihatan gembira dan bersemangat.

“Saya gembira dan bersemangat,” katanya yang mengenakan jubah hitam.

Puteri Sarah berkata, dia juga gembira apabila dua adiknya hadir menemani.

“Saya sudah bersedia dan bersemangat sebab ada adik-beradik datang menemani,” katanya.

Selain dua adiknya, turut hadir adalah peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah.

Kira-kira 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan kes ibu kepada dua cahaya mata itu.

Media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah nekad untuk memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua di Thailand, baru-baru ini.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – Harian Metro