Input your search keywords and press Enter.

Nurul Izzah Dilantik Penasihat Ekonomi, Kewangan PM

M Update, 30/01/2023 – Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakannya.

Anwar berkata ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, beliau berkata  Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas pelantikannya itu.

“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi Menteri Kewangan selama lapan tahun. Menteri-menteri dalam Perikatan Nasional (PN) pun tiada kelulusan masing-masing, tetapi bila giliran kita, mereka bangkitkan.

“Jadi, apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Dan seorang menteri air mesti jurutera? Untuk Nurul Izzah, dia ada ijazah kejuruteraan dan ijazah bidang dasar awam. Memang saya minta, pelawa dia untuk bantu saya sebagai penasihat di JPM dan MOF,” katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Jan lalu. – Bernama