Input your search keywords and press Enter.

Operasi JIM Ikut SOP, PATI Tiada Niat Pulang Ke Negara Asal

M Update, 07/03/2023 – Operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Nilai Spring, Negeri Sembilan, 1 Februari lalu diadakan secara teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan di kawasan dikenal pasti sebagai penempatan haram warga asing selepas mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat serta hasil risikan yang dilaksanakan oleh pihak JIM selama sebulan.

“Dalam operasi itu 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 orang berusiaantara dua bulan hingga 72 terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kenyataan Khairul Dzaimee itu merujuk kepada penyiaran portal 4 Februari lalu menyatakan Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) mengecam serbuan pekerja asing diadakan JIM di kawasan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati mereka yang ditahan tidak berniat untuk pulang ke negara asal sebaliknya ingin terus berada di sini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen sah. Ini berdasarkan dapatan seperti penempatan itu merupakan perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan dan berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya.

“Akses ke kawasan itu juga hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer yang dikelilingi besi serpihan jerat serta anjing liardan mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit genset dan sekolah yang menggunakan silibus pendidikan negara berkenaan,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan- Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, ketika operasi, pihaknya menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang serta terdapat cubaan beberapa pendatang tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri daripada ditahan, malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap, namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi.

“Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Khairul Dzaimee menambah, pihaknya ingin menjelaskan operasi penguatkuasaan ini tidak membabitkan dan berkait pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula 27 Januari lalu. – Harian Metro