Input your search keywords and press Enter.

Menu Rahmah “Durian” Berharga RM4.99

Foto: Bernama

M Update, 10/02/2023 – Konsep Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan baru-baru ini dengan menetapkan sesuatu menu pada harga RM5 dan ke bawah mendapat sambutan menggalakkan termasuk seorang peniaga durian yang menjual raja buah itu pada harga RM4.99 sebekas.

Pengusaha gerai Durians Atok, Khairul Fahmy Md Yasin, 45, berkata baginya konsep Menu Rahmah itu seharusnya tidak dikecilkan hanya kepada makanan dan minuman harian dan pengusaha produk lain sewajarnya  turut terlibat bagi memasarkan produk mereka untuk dinikmati semua golongan khususnya B40.

Foto: Bernama

“Inisiatif ini adalah baik kerana peniaga lain boleh turut menurunkan harga barangan selain makanan harian yang mungkin tidak mudah untuk diperoleh. Disamping itu, peniaga dapat bantu dan turut bersedekah kepada mereka yang tidak mampu,” katanya kepada Bernama.

Katanya, Durian Rahmah yang diperkenalkan di gerainya sejak minggu lepas itu berjaya menarik pembeli sehingga dari selatan tanah air untuk merasai keenakan raja buah di gerainya dengan harga murah iaitu RM4.99 bagi 300 hingga 400 gram sebekas.

Khairul Fahmy berkata dia sendiri tidak menyangka konsep jualan yang dilaksanakan seiring dengan seruan kerajaan itu membuatkan gerainya ‘diserbu’ peminat durian sejak minggu lepas.

Foto: Bernama

“Hari pertama saya jual RM4.99, durian sebanyak 50 bekas terjual dalam 10 minit sahaja. Saya pun terkejut. Sebelum ini saya jual RM8 ke RM9 bagi satu bekas.

“Jadi saya teruskan tambah kerana permintaan memang tinggi sehingga ada mereka yang dari Skudai, Johor datang membeli. Semalam, 600 bekas Durian Rahmah ini terjual dan kita mungkin tambah kuantiti jika permintaan meningkat,” katanya.

Khairul Fahmy berkata dalam satu bekas itu akan dicampur isi duriannya antaranya durian kampung dan D24 dan mereka yang berminat boleh membeli dengan mengunjungi gerainya kerana buat masa ini, dia tidak menerima sebarang tempahan.

Katanya, jualan bagi Durian Rahmah akan bermula pada 2.30 petang selepas bekalan buah itu sampai dengan setiap pelanggan dihadkan untuk membeli dua bekas durian saja bagi memastikan orang lain dapat merasai serta berpeluang untuk membeli durian yang dijual.

Selain itu, Khairul Fahmy turut menjual pelbagai jenis durian di gerainya yang terletak di Jalan Kebun Kampung Batu 7, di sini dan turut menjual cendol durian serendah RM4.

Foto: Bernama

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar. – Bernama