Input your search keywords and press Enter.

Atasi Islamophobia Menerusi Dialog Intelektual – PM

M Update, 27/02/2023 – Umat Islam di seluruh dunia perlu mengatasi isu Islamofobia menerusi platform perdebatan secara intelektual.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan ekstremis oleh segelintir pihak tidak akan mendatangkan sebarang kesan yang positif.

“Wacana atau dialog itu harus dilaksanakan di peringkat negara dan antarabangsa.

“Peranan itu perlu dilakukan kerana kita ini walaupun Islam merupakan agama persekutuan tetapi kita juga merangkul kekuatan semua kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Forum Antarabangsa mengenai Islamofobia di Putrajaya pada Isnin.

Katanya lagi, Islam tidak akan digambarkan sebagai agama yang membawa kepada perpecahan dan keganasan sekiranya pendekatan yang diambil berlandaskan sumber yang sahih.

Ujarnya lagi, permasalahan seumpama itu tidak hanya tertumpu kepada dalam kalangan umat Islam sahaja malah turut melibatkan agama lain.

“Masalah ketika ini adalah soal kerana mereka yang menentang Islam juga tidak pernah cuba memahami Islam. Yang menentang juga tidak semua dengan cara yang betul dan ini juga mampu timbulkan masalah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Anwar Ibrahim turut menyatakan negara perlu membawa masuk pakar-pakar agamawan dalam usaha mewujudkan kefahaman yang lebih jelas.

“Di Malaysia ini memang perlu (pakar agama) kerana kalau saya nak pimpin negara saya perlu faham tentang Islam… kalau nak bercakap tentang agama lain pun saya perlu faham.

“Perkara ini untuk elak kita tidak hina agama dia dan memberi pandangan yang tidak selari dengan kefahaman agama mereka,” ujarnya lagi. – Astro Awani