Input your search keywords and press Enter.

Surat Khabar Masih Mempunyai Peranan Penting – PM

M Update, 29/05/2023 – Walaupun kini media sosial telah mengambil alih peranan akhbar fizikal, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berpandangan bahawa surat khabar masih mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar berbanding media sosial.

Ini kerana surat khabar tetap mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan berpotensi untuk bertahan jika mengekalkan mutu dan integritinya, katanya.

“Saya masih mewakili fikiran lama, saya masih setiap hari selain melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya masih wajib membaca surat khabar setiap hari,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 semalam.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan permulaan RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena HAWANA 2023 bagi menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup.