Input your search keywords and press Enter.

Pertukaran Agong Bukti Keunikan Sistem Penggiliran Raja

M Update, 29/01/2024 – Malaysia sekali lagi akan menyaksikan momen yang amat bermakna dalam catatan sejarah Raja Berperlembagaan di negara ini dengan berlangsungnya dua istiadat penting dalam tempoh 48 jam ini, sekali gus menonjolkan keunikan sedia ada sistem penggiliran raja-raja Melayu yang telah diamalkan sejak 1957.

Esok, Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.

Pada Rabu, tampuk pemerintahan negara bakal mencatat era baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai sembilan negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada 1994, penggiliran ini mula masuk pusingan kedua apabila bekas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-10.

Kedua-dua peristiwa penting yang akan berlangsung esok dan Rabu ini pastinya dinantikan rakyat Malaysia dengan perasaan bercampur. Rasa sedih dan sebak pastinya mengiringi keberangkatan balik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat dari Istana Negara pada 8 pagi esok ke Dataran Parlimen bagi istiadat rasmi perpisahan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) pada 27 Oktober 2023 akan dimasyhurkan bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah pada Rabu ini.

Baginda dijadual menyempurnakan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara yang akan turut menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024 ini.

Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

Sumber : Bernama