Input your search keywords and press Enter.

Jangan Lupa Bayar Zakat Fitrah

M Update, 26/03/2024 – Pejam celik, hari ini dah masuk 15 hari umat Islam telah berpuasa di Bulan Ramadan yang mulia. Bila sebut bula Ramadan secara automatik kita semua akan menunaikan tanggungjawab kita menunaikan zakat fitrah yang wajib ke atas kita.

Apa itu zakat fitrah? Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Kadar Zakat Fitrah

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

Waktu Menunaikan Zakat Fitrah

Waktu menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

  1. Waktu Wajib
    Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu Syawal.
  2. Waktu Afdal
    Sebelum sembahyang Hari Raya
  3. Waktu Sunat
    Sepanjang bulan Ramadhan
  4. Waktu Makruh
    Selepas sembahyang hari raya sehingga terbenam matahari satu Syawal.
  5. Waktu Haram
    Selepas terbenam matahari satu Syawal.