M Update, 25/04/2024 – Sebanyak 21 rumah penduduk di sekitar Mukim Siong, Tawar, Pulai, Bakai dan Mukim Teloi Kanan di daerah ini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut, petang semalam.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 5 petang semalam bagaimanapun tiada melibatkan kemalangan jiwa.
Kawasan yang terjejas akibat ribut termasuklah tiga buah rumah di Mukim Siong, lapan rumah di Mukim Tawar, tiga rumah di Mukim Pulai, dua rumah di Mukim Bakai dan lima rumah di Mukim Felda Teloi Kanan.
Anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) telah membersih dan mengalihkan pokok tumbang yang menghalang lalu lintas serta pokok yang menimpa rumah penduduk. Operasi pembersihan rumah yang terjejas dan kerja memotong pokok-pokok yang tumbang akan diteruskan lagi hari ini.