M Update, 14/05/2024 – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menetapkan 30 hari bermula November ini untuk perbicaraan pertuduhan terhadap Mohd Nazri Abdul Razak, 45, pegawai kanan polis yang dituduh menyebabkan kematian ke atas seorang pelajar lelaki, Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, menetapkan tarikh perbicaraan itu bermula 4 November 2024 hingga 17 Januari 2025.
Terdahulu, tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 46, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Mahkamah turut menetapkan 1 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk semua pihak menyerahkan afidavit masing-masing.
Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.