Input your search keywords and press Enter.

Vaksin DTAP Diberi Percuma Kepada Ibu Hamil

M Update, 14/05/2024 – Semua ibu hamil di Malaysia, akan diberikan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma, mulai hujung tahun ini.

Pemberian vaksin ini dijangka bermula pada hujung tahun 2024 untuk melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis atau batuk kokol.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, vaksin terbabit akan diberikan secara percuma kerana ia termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP). Selain DTAP, beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan bagi memasukkan vaksin influenza ke dalam program NIP khusus untuk golongan warga emas.

Pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan hingga dilahirkan dan ia dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dalam kandungan.

Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.