Input your search keywords and press Enter.

Nahas Helikopter TLDM: Pesawat Fennec Tidak Berada Ketinggian Dan Haluan Ditetapkan

M update, 30/05/2024 – Laporan akhir nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak diumumkan hari ini, dengan mengenal pasti dua faktor sebagai punca berlakunya tragedi berkenaan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, berdasarkan laporan akhir yang dikeluarkan Lembaga Siasatan hari ini, faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan serta telah memasuki laluan pesawat HOM AW139.

Faktor kedua pula, membabitkan penyaluran perhatian atau ‘channelized attention’ oleh kru pesawat HOM AW139, yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

“Hanya dua faktor sahaja yang telah kita putuskan disini, dan laporan akhir ini selari dengan laporan awal sebelum ini. Laporan ini juga telah dihantar ke State Airworthiness Authority untuk rekod” katanya dalam sidang media berkenaan Laporan Akhir Insiden Helikopter TLDM, di KD Sri Gombak di sini hari ini.

Malah, beliau turut menafikan insiden tersebut berlaku atas faktor kesilapan manusia. Di dalam laporan kita ini, kita tidak menyatakan langsung ‘human error’ (kesilapan manusia). Penemuan yang dibuat hanya menyatakan bahawa pesawat tidak berada pada ketinggian dan haluan yang telah ditetapkan.

“Mengapa lembaga siasatan memutuskan sedemikian, kerana pesawat Fennec tidak mempunyai kotak hitam dan data-data yang boleh kita rumuskan untuk mengaitkan dengan ‘human error ‘oleh juruterbang pesawat itu.” katanya.

Beliau turut memaklumkan kedua-dua bangkai pesawat itu masih berada di markas udara untuk semakan dan siasatan lanjut, walaupun ia berada  dalam keadaan tidak boleh diperbaiki.

“TLDM dan juga ATM berusaha sebaiknya untuk memastikan kebajikan waris mangsa nahas ini sentiasa diberikan perhatian utama.

“Semua urusan berkaitan pembayaran pampasan khususnya skim takaful berkelompok ATM dan sumbangan lain sudah diserahkan kepada waris berkelayakan,” katanya.

Menerusi laporan akhir yang dikeluarkan TLDM, laporan autopsi mengesahkan bahawa tiada isu hypoglycemia atau unsur keletihan terhadap semua kru udara serta tiada penggunaaan bahan terlarang.

Malah, semua kru terlibat dikenal pasti secara perubatan,’ fit to fly’ dan tiada unsur sakit mental atau ‘mental illness’ direkodkan atau dikenal pasti. Menerusi laporan itu juga, kematian semua 10 mangsa adalah berpunca daripada pelbagai kecederaan akibat kemalangan penerbangan.

Pesawat HOM AW139 turut  disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan laporan analisis kotak hitam, manakala berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi yang ada juga mendapati pesawat Fennec tidak mempunyai masalah sama.

Kerja penyenggaraan kedua-dua pesawat juga disahkan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan, selain sampel minyak pelincir dan bahan api disahkan normal. Keadaan cuaca juga baik dan sesuai untuk melakukan penerbangan ketika hari kejadian.

Laporan analisis kotak hitam pesawat HOM AW139 digunakan untuk membantu siasatan, manakala bagi pesawat Fennec pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar. Kerjasama dan kepakaran dari pihak OEM  telah dirujuk bagi membantu siasatan.

Airbus Helicopters turut mengesahkan bahawa tiada peralatan yang mempunyai ‘non volatile memory’ di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.