M Update, 31/05/2024 – Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 bagi pelajar Tahap Dua sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Perdana Menteri berkata, baucar berkenaan boleh dituntut melalui mekanisme yang akan diumumkan, mulai jam 2 petang ini.
Anwar sekali gus mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan format tuntutan baucar berkenaan supaya ia dapat dimanfaatkan pengunjung PBAKL 2024 yang bakal berakhir pada Ahad ini.
“Menteri Pendidikan Tinggi perlu menyediakan format penggunaan baucar berkenaan. Saya berharap ia dapat digunakan mulai hari ini pada PBAKL supaya pengunjung dapat memanfaatkannya untuk membeli buku di sini.
“Saya juga menganjurkan supaya (dibuat) senarai judul tertentu agar sebahagian peruntukan baucar itu digunakan untuk membeli buku yang diusulkan dan sebahagian lagi diberi kelonggaran bagi anak-anak memilih sendiri. Kenapa saya sebut begitu… kerana mengikut amalan lalu, buku dipilih (anak-anak) adalah buku picisan yang tidak bernilai.
“Saya selalu sebut mengenai memupuk minat belajar serta mencintai ilmu. Sebagaimana diungkapkan Sayidina Ali bin Abi Talib, ilmu itu lazat, memberi minat dan memperkayakan minda, seterusnya memberi kita kewarasan, kebijaksanaan serta hikmah,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan, masyarakat perlu diberikan pemahaman mengenai makna ilmu yang sebenar supaya tidak terdedah dengan maklumat atau karya tidak bermanfaat.
“Bukan semua maklumat itu adalah ilmu. Ada juga maklumat yang hanya sekadar maklumat, selain ada juga yang masuk kategori ilmu. Ilmu seperti dikupas ulama serta sarjana, ada yang memberikan manfaat dan tidak memberi manfaat.
“Justeru, kita perlu melatih anak-anak membaca, mencintai ilmu serta menentukan yang mana adalah informasi dan ilmu, seterusnya mempunyai keupayaan untuk menyaring apa yang disebut ilmu makrifah atau kebijaksanaan,” katanya.
“Dalam negara MADANI, kita mesti mengangkat semula (budaya membaca) dan berani membuat sedikit anjakan. Saya berterima kasih kepada pihak penganjur (PBAKL) kerana tahun ini, bukan saja pengunjung ramai tetapi dalam masa empat hari pertama, pembelian buku bertambah ketimbang tahun sebelumnya.
“Jadi, yang sudah datang (ke PBAKL), beli buku, balik nanti kenalah baca.
“Saya juga berharap buku penulisan Sasterawan Negara kita tidak ditinggalkan. Ada (banyak) novel penulisan Sasterawan Negara terkemuka yang diterbitkan, antaranya karya Datuk Seri A Samad Said, Allahyarham Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad dan Datuk Dr Anwar Ridhwan. Senarai (karya) Sasterawan Negara ini yang patut diusulkan (untuk dibaca),” katanya. – BH