Input your search keywords and press Enter.

Eksesais Tiger Strike 2024, Orang Diminta Tidak Panik

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 31/05/2024 – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) melaksanakan Eksesais Tiger Strike 2024 yang bermula 28 Mei lalu hingga 6 Jun ini di Setiu, Seberang Takir, Terengganu.

Dalam kenyataan, TDM memaklumkan eksesais itu membabitkan Pasukan 10 Briged Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC).

Katanya, ia juga membabitkan elemen sokongan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).

“Matlamat utama latihan ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dan kecekapan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat. Ia juga bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan kompetensi serta profesionalisme kedua pasukan terbabit,” katanya.

Menurutnya, latihan itu akan membabitkan banyak pergerakan kenderaan dan aset tentera, bunyi letupan serta penerbangan pesawat-pesawat tentera di sekitar kawasan terbabit.

“Demi keselamatan dan kelancaran pelaksanaan eksesais ini, penduduk tempatan dinasihatkan untuk mengambil maklum terhadap beberapa perkara.

“Penduduk dinasihatkan untuk tidak memasuki kawasan latihan ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri. Kawasan yang terbabit akan diletakkan papan tanda berkaitan eksesais dengan jelas,” katanya.

Selain itu, katanya, penduduk dinasihatkan untuk memberikan laluan kepada kenderaan tentera yang bergerak di jalan raya bagi mengelakkan sebarang gangguan atau kemalangan.

“Penduduk juga diminta untuk tidak panik apabila mendengar bunyi tembakan atau melihat pergerakan dan aktiviti ketenteraan.

“Ini adalah sebahagian daripada latihan yang dirancang dan dikawal selia dengan ketat,” katanya.

Katanya, penduduk juga diminta untuk memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan atau tentera bagi memastikan keselamatan dan kelancaran eksesais.

“Sebarang pertanyaan atau kebimbangan boleh diajukan kepada pihak berkuasa tempatan atau markas tentera terdekat untuk maklumat lanjut.