Input your search keywords and press Enter.

Ibu Zayn Rayyan Dibawa Ke Lokasi Kejadian Bagi Lakon Semula Kejadian

M Update, 10/06/2024 – Ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen dibawa kembali ke kediaman mereka dekat Apartment Idaman, Damansara Damai hari ini bagi membantu siasatan pembunuhan anaknya.

Proses membawa ibu Zayn dipercayai dilakukan adalah untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn sehinggalah mayatnya ditemui pada 6 Disember lalu.

Berdasarkan tinjauan di lokasi, sebuah van polis tanpa logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa ibu mangsa ke lokasi kediamannya di Blok R pada jam 10.15 pagi tadi. Setakat ini tiada maklumat diperoleh mengapa bapa Zayn tidak dibawa ke lokasi berkenaan bersama isterinya.

Difahamkan, suspek akan dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman, bagi melakonkan semula kejadian.

Selain itu, juga kelihatan anggota polis membawa patung kanak-kanak, bagaimanapun tujuannya masih belum dapat dipastikan. Kawasan sekitar lokasi kejadian juga dikawal ketat oleh anggota polis.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.