M Update, 21/03/2024 – Kerajaan Perak akan mengenakan bayaran tambahan berjumlah RM3 sebagai Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) bagi pengunjung yang menginap di negeri ini bermula 1 Januari 2025.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, caj baharu tersebut dikenakan bagi setiap bilik penginapan berbayar untuk setiap malam. Menurutnya, bayaran tersebut diperkenalkan di bawah Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lalu.
Beliau berkata, caj seumpama itu sudah dilaksanakan oleh beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.
“Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan kepada 1 Januari 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Sandrea berkata, bayaran yang dikenakan ke atas pengunjung itu merupakan inisiatif tambahan yang diharap membantu kerajaan negeri memperbaiki mutu perkhidmatan tempatan di tempat-tempat pelancongan di negeri ini.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelaksanaan penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 ditetapkan bermula 1 Julai depan.
Sehubungan itu katanya, semua pengendali hotel, rumah tumpangan termasuk pengusaha rumah rehat, tapak-tapak perkhemahan, chalet, rumah bot, inap desa dan lain-lain tempat bermalam atau penginapan yang mengenakan caj kepada pengunjung perlu mendapatkan lesen berkenaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagi memberikan tempoh yang mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.