Input your search keywords and press Enter.

JAKIM Sangkal Laporan 1 Syawal 1443H Tidak Sah

BERNAMA

M Update, 14/04/2023 – Laporan yang menyatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H yang ditetapkan pada 2 Mei 2022 tidak sah dan terbatal, adalah tidak benar, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) semalam.

Jakim dalam kenyataan, sebagai maklum balas terhadap laporan bertajuk “Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti” menegaskan hasil cerapan tersebut mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan,” menurut Jakim.

Selain itu, Jakim memaklumkan kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang juga ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal (anak bulan/bulan sabit) menerusi peralatan teodolit.

Menurut Jakim, imej yang diperoleh kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang itu dan dilaporkan kepada Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur.

Satu perbincangan khusus juga kemudiannya dilaksanakan oleh mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan, sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat, menurut kenyataan itu.

“Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong,” menurut Jakim.

Jakim dalam kenyataannya juga menyangkal artikel berkenaan yang menyatakan laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia kerana semakan di laman sesawang itu mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

Jakim berkata, semua pihak diminta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

“… masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

“Jakim menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya.